DBKL PERGIAT USAHA MITIGASI BANJIR DI KUALA LUMPUR MELALUI PENDEKATAN MENYELURUH DAN BERSEPADU

Pada 6 Mei 2026, telah berlaku kejadian hujan dengan intensiti tertinggi direkodkan iaitu 96.5 mm /1 jam merujuk Stesen Hujan Universiti Malaya.

Bacaan intensiti hujan ini telah melebihi hujan amaran oleh pihak JPS iaitu 60 mm dalam tempoh 2 hingga 4 jam boleh berlaku air bertakung terutama di kawasan yang rendah.

Kejadian hujan dengan intensiti sangat tinggi dalam tempoh singkat ini mengakibatkan paras sungai-sungai meningkat dengan mendadak. Sebagai contoh, kejadian air bertakung di Segambut Dalam adalah akibat paras Sungai Toba merekodkan bacaan 43.14m melebihi bacaan paras bahaya iaitu 42.8m.

Manakala kejadian yang berlaku di kawasan Kuchai Lama, LRT Bukit Jalil juga adalah susulan dari hujan berintensiti sangat tinggi dalam tempoh 1 jam mengakibatkan paras air sungai dan kawasan tadahan terlibat meningkat dengan mendadak menyebabkan sistem perparitan dan longkang sekitar tidak dapat menampung aliran air secara optimum atau menyeluruh. Sebagai contoh, tadahan Sungai Kerayong merekodkan bacaan 32.88m melebihi bacaan paras bahaya iaitu 32.66m.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus memperkukuh usaha mitigasi banjir di seluruh ibu kota menerusi pendekatan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mengurangkan risiko banjir kilat serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga kota sentiasa terpelihara.

14 lokasi hotspot banjir di sekitar Kuala Lumpur akan diberi perhatian khusus menerusi tindakan segera serta perancangan jangka panjang. Antara lokasi terlibat ialah Jalan Rahmat/Jalan Sultan Azlan Shah, Lebuhraya Sultan Iskandar, Bulatan Dato Onn, Jalan Tun Sambanthan Brickfields, Jalan Chan Sow Lin, Jalan Sultan, Jalan Cheras, Jalan Pudu, Jalan Genting Klang dan Jalan Pintasan Segambut.

Jumlah hotspot air bertakung yang sebelum ini berjumlah lebih 30 lokasi sebelum ini berjaya dikurangkan kepada 14 hotspot hasil pelaksanaan pelbagai projek mitigasi dan penambahbaikan sistem saliran secara berterusan.

Pelbagai tindakan telah dan sedang dilaksanakan melibatkan penyelenggaraan kolam takungan banjir (OSD), pengorekan kelodak sungai dan parit induk, pembersihan saliran, pembinaan serta penaiktarafan longkang dan sistem perparitan di lokasi hotspot banjir sekitar Kuala Lumpur.

Antara langkah berterusan yang dilaksanakan termasuk kerja desilting di Sungai Toba yang dijalankan secara berkala setiap dua bulan sekali bagi memastikan aliran air sentiasa berada dalam keadaan baik dan terkawal.

Tindakan jangka pendek melibatkan kerja pembersihan longkang, pengorekan kelodak, pembinaan outlet terbuka, cut-off drain dan tembok penahan banjir. Manakala tindakan jangka panjang merangkumi projek mitigasi banjir berskala besar, pembinaan kolam takungan bawah tanah, penaiktarafan sistem saliran serta pemasangan perangkap sampah mesra alam di kawasan berisiko banjir.

Bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan menghadapi insiden banjir kilat, DBKL turut mewujudkan Task Force Hotspot Banjir Kilat Kuala Lumpur yang digerakkan ketika hujan lebat bagi memantau keadaan di lokasi hotspot serta memastikan sistem saliran dan inlet berada dalam keadaan baik dan tidak tersumbat. Pasukan ini turut melaksanakan tindakan pembersihan segera sekiranya terdapat halangan aliran air di kawasan terlibat.

DBKL juga menubuhkan task force khas potholes yang akan digerakkan sebaik sahaja hujan reda bagi melaksanakan pemeriksaan dan tindakan awal di kawasan jalan raya terjejas untuk mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya.

Selain itu, DBKL telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana DBKL serta Mesyuarat Task Force Hotspot Banjir Kilat Kuala Lumpur bersama agensi berkaitan seperti JPSKL dan APM bagi memperkukuhkan koordinasi tindakan di lapangan.

Newsletters
© 2026 SDG Centre Kuala Lumpur. All rights reserved.
homemagnifiercrossarrow-up-circle