Datuk Bandar Kuala Lumpur hari ini telah mengadakan lawatan kerja bagi meninjau dua projek mitigasi banjir utama di Taman Botani Perdana Kuala Lumpur dan Padang Merbok.
Di Taman Botani Perdana, projek yang telah siap ini merupakan antara inisiatif mitigasi banjir kilat. Kawasan rekreasi taman ini dimanfaatkan sebagai kolam takungan banjir bawah tanah (underground on-site detention pond) yang berfungsi menampung lebihan air hujan bagi mengurangkan risiko banjir kilat di sekitar Lebuhraya Mahameru dan Jalan Duta. Kolam bawah tanah ini berkeupayaan menampung sehingga 23,000 meter padu lebihan air semasa hujan lebat.
Sementara itu, di Padang Merbok, Datuk Bandar turut meninjau projek mitigasi banjir yang sedang dalam pelaksanaan, melibatkan kawasan sekitar Jalan Salahuddin, Bulatan Datuk Onn, Jalan Tun Ismail, Jalan Parlimen dan Jalan Berjasa. Sebahagian kawasan Padang Merbok juga dimanfaatkan sebagai kolam takungan banjir bawah tanah bagi mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan tersebut. Kolam ini direka untuk menampung sehingga 10,000 meter padu lebihan air semasa hujan lebat.
Kedua-dua projek ini mencerminkan pendekatan kejuruteraan moden yang menggabungkan fungsi rekreasi awam dengan infrastruktur tebatan banjir, sekali gus menyokong usaha menjadikan Kuala Lumpur lebih berdaya tahan terhadap perubahan cuaca ekstrem dan risiko banjir.



