Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneruskan pelaksanaan Program COMBI Sekolah Bil. 2/2026 yang telah diadakan pada 20 Januari 2026 bertempat di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Maluri sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membanteras penularan demam denggi di peringkat komuniti sekolah.
Program ini merangkumi pelbagai pengisian antaranya ceramah kesedaran demam denggi dan COMBI, taklimat serta demonstrasi pemeriksaan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes di sekitar kawasan sekolah, selain pameran pendidikan berkaitan kawalan kendiri pencegahan denggi.
Seramai 10 orang pelajar telah dilantik sebagai sukarelawan Skuad COMBI dan menerima sijil penghargaan serta COMBI kit bagi memperkasakan peranan mereka sebagai ejen perubahan dalam memastikan persekitaran sekolah sentiasa bersih dan selamat.
Sebagai sokongan tambahan, poster demam denggi, racun Abate serta 5 unit pokok penghalau nyamuk (Lemon Cypress) turut diserahkan kepada pihak sekolah bagi menyokong usaha pendidikan pencegahan denggi dan mewujudkan persekitaran yang hijau.
DBKL akan terus komited memperluaskan pelaksanaan Program COMBI Sekolah sebagai langkah proaktif mendidik generasi muda agar sentiasa peka dan bertanggungjawab dalam usaha mencegah penularan denggi.




