Bagi Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif, kerjasama strategik antara Malaysia dan Jepun bukan sekadar hubungan dua negara sebaliknya ia adalah platform pertukaran ilmu dan kepakaran yang membuka ruang kepada tindakan iklim bandar yang lebih berkesan dan berdaya tahan. Pandangan ini dikongsikan beliau semasa menyampaikan ucapan alu-aluan di Malaysia–Japan Environment Week 2025, yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre.
Acara ini diadakan pada 16hb. Oktober 2025 yang turut dihadiri oleh kelompok pakar dan kumpulan profesional, wakil sektor perniagaan, serta pelajar dari Malaysia dan Jepun, menjadikannya medan pertemuan idea dan pengalaman yang memperkayakan wacana mengenai masa depan bandar rendah karbon.
Dalam ucapannya, Datuk Bandar menegaskan bahawa Kuala Lumpur terus memperkukuh komitmen untuk menjadi bandar raya mampan dan resilien, berpaksikan kepada Kuala Lumpur Local Plan 2040 (KLSP2040) dan Climate Action Plan 2050 (CAP2050). Kedua-dua pelan ini bukan sekadar dokumen perancangan, tetapi menjadi kerangka ilmu dan tindakan bagi membina ketahanan bandar melalui dasar berasaskan data, inovasi hijau dan penglibatan masyarakat.
Beliau menekankan bahawa kerjasama Malaysia–Jepun berperanan sebagai jambatan ilmu antara ASEAN dan Asia Timur, yang membolehkan pertukaran teknologi, amalan terbaik serta penyelidikan dalam bidang perancangan bandar dan mitigasi perubahan iklim. Pendekatan ini turut memperkukuh pelaksanaan New Urban Agenda (NUA) serta menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di peringkat tempatan dan serantau.
Sebagai contoh kejayaan, Datuk Bandar berkongsi pengalaman penganjuran Town Hall COP Kuala Lumpur, yang menghimpunkan lebih 2,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat. Program ini menjadi platform inklusif bagi memperkasa wacana awam, perkongsian ilmu dan pembentukan komitmen bersama dalam merangka tindakan iklim bandar.
DBKL turut memperkukuh pelaksanaan pelbagai inisiatif berimpak tinggi seperti Green and Blue Network, Zero-Waste Kuala Lumpur, dan Urban Renewal Projects, yang disokong oleh pendekatan sains, penyelidikan dan kolaborasi antara institusi. Kesemua usaha ini menegaskan peranan Kuala Lumpur sebagai bandar pembelajaran (learning city) yang sentiasa bereksperimen, menyesuaikan diri dan berkembang berasaskan ilmu.
Datuk Bandar menutup ucapannya dengan penegasan bahawa perkongsian strategik Malaysia–Jepun membuktikan kekuatan ilmu dan kolaborasi lintas sempadan dalam membentuk masa depan yang lestari. Dengan jalinan kepakaran yang melibatkan kerajaan, industri, akademia dan masyarakat, Kuala Lumpur yakin dapat memperkukuh kedudukannya sebagai bandar contoh di rantau ini iaitu bandar yang hijau, inklusif dan berdaya tahan untuk generasi akan datang.




