Pada 5hb. Ogos 2025, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada hari ini telah menganjurkan sesi High-Level Dialogue bersama Prof. Dr. Mariana Francessa Mazzucato, pakar ekonomi inovasi dan Pengarah Pengasas Institute for Innovation & Public Purpose, University College London. Sesi ini telah berlangsung di Anjung Singgahsana, Menara DBKL 1.
Dialog berimpak tinggi ini telah dihadiri oleh YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, bersama barisan Pengarah Eksekutif dan ketua-ketua jabatan DBKL.
Sesi dimulakan dengan pembentangan taklimat oleh YBrs. Puan Nor Azlina binti Mohd Saad, Pengarah Eksekutif Pengurusan DBKL, yang menyentuh visi serta cabaran dalam merealisasikan aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya untuk semua.
Acara diteruskan dengan sesi wacana bersama Prof. Mariana yang mengetengahkan aspek tadbir urus cemerlang serta pendekatan inovatif yang relevan dan boleh dilaksanakan di DBKL. Sesi ini turut disusuli dengan perbincangan interaktif melalui sesi soal jawab antara peserta dan Prof. Dr. Mariana.
Dalam ucapan penutupnya, Datuk Bandar merakamkan penghargaan atas penganjuran sesi dialog ini dan menyatakan harapan agar ia memberi kefahaman yang lebih mendalam kepada semua tentang peranan penting pihak berkuasa tempatan serta kepentingan penggunaan teknologi pintar dalam usaha merealisasikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar untuk semua.







