Pada 23hb. September 2025, YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur telah dijemput sebagai salah seorang panel dalam sesi dialog anjuran British Malaysian Chamber of Commerce (BMCC) bertajuk “Shaping a Sustainable City: A Conversation with the Mayor of Kuala Lumpur” yang berlangsung di Menara IQ, TRX.
Sesi dialog ini menjadi platform penting untuk membincangkan hala tuju pembangunan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya yang mampan dan inklusif. Antara isu utama yang disentuh termasuklah pemuliharaan warisan dan pembaharuan bandar, penggunaan semula bangunan lama untuk tujuan perumahan mampu milik, pengukuhan jaringan pengangkutan awam serta kenderaan elektrik, selain strategi bandar pintar berasaskan data dan teknologi digital.
Datuk Bandar turut menekankan kepentingan memperkukuh daya tahan bandar terhadap risiko iklim seperti banjir kilat melalui infrastruktur hijau, jaringan hijau-biru sejauh 254 kilometer serta pewujudan 20 meter persegi ruang hijau untuk setiap penduduk. Semua ini digerakkan melalui perancangan menyeluruh di bawah Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040).
Beliau menegaskan bahawa transformasi bandaraya tidak akan berjaya dilaksanakan oleh DBKL sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama erat daripada semua pihak melalui prinsip 4P (Public, Private, People, Partnership). Pendekatan ini membolehkan sektor kerajaan, swasta, masyarakat dan rakan antarabangsa berganding bahu dalam menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandaraya yang lestari, berdaya huni, dan disayangi warganya.





