Kebun Bandar Sungai Bunus menjadi lokasi pembelajaran luar bilik darjah yang menarik apabila menyambut kunjungan pelajar tadika berdekatan Lorong Gurney mengenali dunia tumbuhan melalui pengalaman deria. Lokasi kebun yang berdekatan dengan tadika menjadikannya persinggahan yang mudah dan sesuai bagi aktiviti pembelajaran luar seumpama ini.
Menerusi aktiviti sentuhan dan bauan, kanak-kanak berpeluang meraba tekstur daun, batang dan bunga, di samping menghidu aroma semula jadi pelbagai jenis tumbuhan di kebun tersebut. Pendekatan pembelajaran berasaskan deria ini membantu memupuk kesedaran alam sekitar sejak usia dini, sekali gus mencetuskan rasa ingin tahu dan kecintaan terhadap alam semula jadi dalam kalangan generasi muda.
Keberadaan kebun bandar dengan kawasan kediaman dan institusi pendidikan seperti tadika membuktikan peranannya sebagai ruang hijau komuniti yang mudah diakses, sekali gus memperkukuh fungsinya bukan sekadar ruang hijau, tetapi juga sebagai makmal pembelajaran hidup yang menghubungkan kanak-kanak bandar dengan alam sekitar secara langsung dan bermakna.