Pada 2hb. September 2025, YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur telah menjadi salah seorang panelis dalam Kuala Lumpur International Summit on Sustainable Future (KLSF) yang berlangsung di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar South. Forum bertajuk “Leaving No One Behind: Advancing the SDGs for a Sustainable Future” ini turut menampilkan tokoh daripada pelbagai sektor dengan perbincangan berfokus kepada usaha merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Dalam sesi tersebut, Datuk Bandar menekankan komitmen Kuala Lumpur terhadap pembangunan mampan melalui pelaksanaan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040), termasuk penyediaan 20 meter persegi ruang hijau bagi setiap penduduk yang bersamaan dengan 4,700 hektar taman dan 254 kilometer penghubung hijau, transformasi mobiliti bandar dengan sasaran 70 peratus perjalanan harian menggunakan pengangkutan awam menjelang tahun 2040, serta penyediaan 305,000 unit rumah mampu milik lengkap dengan akses kepada sekolah, klinik, pengangkutan awam dan ruang komuniti.
Forum ini menjadi platform penting untuk Kuala Lumpur berkongsi pengalaman dalam menjadikan bandar raya lebih inklusif, hijau dan berdaya huni, seiring dengan aspirasi negara dan komitmen rantau ASEAN terhadap pembangunan mampan.


