Pada 14hb. Oktober 2025, YBrs. TPr. Md. Nazri bin Abdullah, Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL telah hadir sebagai panel dalam sesi Mayors Dialogue sempena KL Sustainable Summit 2025 yang berlangsung pada 14 Oktober 2025 di KLCC.
Dalam sesi tersebut, beliau menegaskan komitmen DBKL untuk membina bandar yang inklusif, hijau dan berpaksikan rakyat menerusi pelaksanaan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) dan Pelan Tindakan Iklim 2050. Usaha ini memberi tumpuan kepada pembangunan perumahan mampu milik, sistem pengangkutan efisien, ruang hijau berkualiti serta infrastruktur adaptif terhadap perubahan iklim.
Dengan suhu bandar meningkat sebanyak 1.5 darjah Celsius dan hujan lebat ekstrem semakin kerap, DBKL kini melaksanakan 139 projek pembaharuan bandar sensitif iklim serta membina 254 kilometer rangkaian hijau biru menjelang tahun 2040. Melalui Town Hall COP Kuala Lumpur, lebih 2,000 warga kota, belia dan profesional turut menyumbang idea bagi membentuk masa depan bandar rendah karbon. Inisiatif seperti KL Child Council bersama UNICEF juga memastikan suara generasi muda didengari dalam proses perancangan bandar.
Teknologi Digital Twin dan Tabung Endowmen Kuala Lumpur memperkukuh perancangan berasaskan data dan menyokong projek komuniti. Kuala Lumpur kini menerajui pelaksanaan Deklarasi Mampan Kuala Lumpur ke arah Visi Komuniti ASEAN 2045 yang menjadikan bandar kita lebih hidup, hijau dan harmoni untuk semua.

