Pada 27hb. September 2025, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini telah menganjurkan Hari Cuci Malaysia 2025 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertempat di hadapan Plaza Low Yat, Bukit Bintang. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Seramai 300 orang peserta telah mengambil bahagaian sempena penganjuran program tersebut. Para peserta terdiri daripada agensi kerajaan, swasta, Majlis Perwakilan Penduduk, persatuan penjaja, sektor korporat dan pelajar.
Inisiatif pembersihan mega ini dilaksanakan serentak di seluruh negara sebagai usaha bersama menangani isu pencemaran sisa, di samping menyemai nilai tanggungjawab sosial dan kelestarian alam sekitar selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta sambutan World Clean Up Day.
Di Kuala Lumpur, pelaksanaan program ini turut dijalankan di semua 11 kawasan Parlimen, merangkumi pelbagai aktiviti seperti gotong-royong, plogging, dan aktiviti komuniti dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, komuniti setempat, syarikat konsesi, kementerian dan rakan strategik.
Penganjur utama, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut menyasarkan rekod baharu Malaysia Book of Records dengan penyertaan seramai 100,000 peserta di seluruh negara.
DBKL berharap pelaksanaan program ini dapat meningkatkan kesedaran warga kota terhadap kepentingan kebersihan dan membantu merealisasikan aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandar Sifar Sisa menjelang 2040.




