DBKL terima Anugerah Kecemerlangan dalam Pengurusan Alam Sekitar Bandar

Pada 9hb. September 2025, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menerima Anugerah Kecemerlangan dalam Pengurusan Alam Sekitar Bandar, sebagai pengiktirafan terhadap inisiatif cemerlang dalam mempromosikan kelestarian, pemuliharaan alam sekitar, serta pengurusan sisa yang berkesan di ibu kota. Anugerah berprestij ini telah diterima oleh, YBhg. Dato' Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur dalam sebuah majlis yang dianjurkan oleh pihak Waste Management Association of Malaysia (WMAM), di Royale Chulan Kuala Lumpur. Datuk Bandar turut dianugerahkan Zero Waste Leadership, penghargaan di atas usaha menggerakkan sifar sisa di Kuala Lumpur dan Malaysia amnya.

Pengiktirafan ini merangkumi pelbagai usaha strategik DBKL, antaranya Program 1Komuniti 1Kitar Semula (1C1R) yang menggalakkan masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah, menukar bahan kitar semula seperti plastik, kertas, dan minyak masak terpakai kepada barangan keperluan harian atau potongan sewa. Selain itu, melalui kerjasama dengan AmBank, DBKL telah memperkenalkan Mesin Kitar Semula Terbalik (Recycling Reverse Vending Machine - RRVM) yang membolehkan orang ramai menukar bahan kitar semula kepada wang tunai secara terus melalui DuitNow.

DBKL turut melancarkan pelan induk Kuala Lumpur Ke Arah Sifar Sisa 2040, dengan sasaran menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar sifar sisa menjelang tahun 2040. Inisiatif ini merangkumi amalan terbaik seperti pengasingan sisa, program kompos, dan penggunaan teknologi bandar pintar bagi memantau serta mengurus pembuangan sisa dengan lebih cekap. Seiring itu, Sistem Pengurusan Sisa Pintar juga diperkenalkan, menggunakan teknologi digital untuk meningkatkan kecekapan kutipan dan pelupusan sisa, sekali gus menyumbang kepada persekitaran bandar yang lebih bersih, hijau, dan mampan.

Anugerah ini mencerminkan komitmen DBKL dalam membina Kuala Lumpur yang lebih lestari, pintar, dan sejahtera demi kesejahteraan generasi akan datang.

Newsletters
© 2026 SDG Centre Kuala Lumpur. All rights reserved.
homemagnifiercrossarrow-up-circle