Pada 30hb. Julai 2025, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melancarkan Projek Sandbox Mikromobiliti serta Program Keselamatan Advokasi Kenderaan Mikromobiliti dalam satu majlis yang berlangsung di Lobi Menara 1, DBKL. Majlis peluncuran ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Projek ini merupakan antara inisiatif strategik di bawah Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040 (PITKL2040) dan turut diperincikan dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040. Ia bertujuan menangani cabaran kesesakan lalu lintas secara mampan serta memperkukuh sistem pengangkutan bandar, termasuk rangkaian ‘first mile’ dan ‘last mile’ di ibu kota.
Dengan kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), DBKL telah diberikan mandat untuk melaksanakan projek ini bagi tempoh dua tahun bermula 1 Februari 2025 hingga 31 Januari 2027. Penggunaan kenderaan mikromobiliti seperti basikal elektrik akan dibenarkan hanya melalui operator yang berdaftar, dan di laluan-laluan khusus yang telah dikenalpasti seperti di kawasan pusat bandar, Taman Tun Dr. Ismail dan Taman Metropolitan Batu.
Seiring dengan pelancaran projek ini, DBKL turut mengadakan Program Keselamatan Advokasi Kenderaan Mikromobiliti sebagai inisiatif meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap aspek keselamatan dan pematuhan peraturan penggunaan kenderaan mikromobiliti.
DBKL yakin bahawa kejayaan inisiatif ini memerlukan kerjasama semua pihak menerusi pendekatan 4P — Public, Private, People dan Partnership. Sokongan padu daripada agensi kerajaan, pengendali swasta, masyarakat pengguna dan rakan strategik amat penting dalam membentuk ekosistem mobiliti bandar yang lebih selamat, berdaya saing dan lestari.
Turut hadir di majlis yang sama ialah YBrs. Tuan Haji Mohamad bin Hamim, Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek), YBrs. Puan Nor Azlina binti Mohd Saad, Pengarah Eksekutif (Pengurusan) dan YBrs. Teknologis Dr. Rizati Hamidun, Pengarah Pusat Kejuruteraan Keselamatan Jalan Raya dan Persekitaran, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).





