Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama UEM Sunrise melalui syarikat kerjasama mereka, Mega Legacy (M) Sdn. Bhd. bagi melaksanakan program pemulihan menyeluruh di Tasik Taman Metropolitan Kepong.
MoU ini ditandatangani oleh YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur yang mewakili DBKL. UEM Sunrise pula diwakili oleh Dato’ Sr. Azmar Talib, Pengerusi Mega Legacy dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif UEM Sunrise.
Kerjasama ini merangkumi pelaksanaan Fasa 2 pemuliharaan tasik yang melibatkan usaha meningkatkan kualiti air, memulihkan keseimbangan ekologi, memperkenalkan sistem rawatan air serta menyediakan strategi penyelenggaraan jangka panjang. Yayasan UEM turut menyokong inisiatif ini melalui pembiayaan sebahagian kerja pemulihan.
Tasik Metropolitan Kepong merupakan antara tasik rekreasi terbesar di Kuala Lumpur. Penambahbaikan di kawasan ini dijangka menyokong aktiviti riadah seperti kayak, perahu naga, larian, berbasikal dan program komuniti. Inisiatif ini akan memperkukuh peranan tasik sebagai ruang rekreasi hijau yang selesa dan inklusif untuk warga kota.
Majlis tersebut turut menyaksikan sesi penanaman pokok nangka sebagai simbolik komitmen terhadap kelestarian alam sekitar. Sesi pelepasan ikan turut diadakan di Tasik Metropolitan Kepong bagi menambahbaik ekosistem akuatik dan memulihkan keseimbangan biodiversiti.
Kerjasama antara DBKL dan UEM Sunrise ini mencerminkan pendekatan 4P Public Private People Partnership, yang menggabungkan peranan sektor awam, sektor swasta dan masyarakat dalam memelihara aset semula jadi serta memperkukuh daya tahan bandar.
DBKL terus komited memperkaya ruang hijau bandar dan meningkatkan kesejahteraan warga Kuala Lumpur melalui kerjasama strategik berimpak tinggi.












