PROJEK RINTIS SIFAR SISA DI TITIWANGSA

Pelaksanaan Projek Rintis Kuala Lumpur Ke Arah Sifar Sisa 2040 yang merupakan antara inisiatif terawal di bawah pelan tindakan bandar lestari yang digerakkan oleh DBKL dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif telah mengadakan lawatan untuk melihat projek rintis yang telah dilaksanakan.

Menerusi kolaborasi strategik antara DBKL dan dua syarikat swasta, iaitu Ecocycle Dynamic Solutions Sdn. Bhd. dan Renergy Bumi Hijau Sdn. Bhd., inisiatif ini membuktikan potensi sebenar inovasi kitar semula sisa di kawasan bandar.

Antara hasil inisiatif ini ialah penggunaan semula sebanyak 4,100 kilogram sisa kaca untuk membina struktur tulisan papan tanda “TAMAN TASIK TITIWANGSA” yang kini menampilkan ciri estetik bercahaya dalam gelap. Selain itu, sebanyak 1,314 kilogram sisa kaca turut digunakan untuk kerja-kerja turapan garisan petak parkir termasuk parkir OKU, yang berjaya mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 4,800 kilogram CO₂eq.

Selain itu, sebanyak 250 kilogram plastik sekali guna juga telah dikitar semula untuk membina permukaan jalan sepanjang 100 meter menggunakan teknologi “Green Asphalt” yang telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR). Kaedah ini turut berjaya mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 990 kilogram CO₂eq.

Kesemua projek ini adalah selaras dengan tonggak keempat dalam Pelan Hala Tuju Kuala Lumpur Ke Arah Sifar Sisa 2040 yang menekankan kepada kerjasama antara Kerajaan, pemain industri, komuniti dan Institusi Pendidikan (GICE). Inisiatif ini turut menyokong nilai teras Malaysia MADANI, khususnya prinsip Kemampanan, Kesejahteraan dan Ihsan dalam memelihara kelestarian bandar.

Projek ini merupakan langkah awal DBKL dalam mencapai sasaran sehingga 60% pengurangan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan menjelang tahun 2040. Ia juga menekankan kepentingan pendekatan kerjasama menyeluruh 4P – Public, Private, People, Partnership – ke arah menjadikan bandar raya Kuala Lumpur lebih hijau, mampan dan disayangi oleh seluruh warga kota.

Newsletters
© 2025 SDG Centre Kuala Lumpur. All rights reserved.
homemagnifiercrossarrow-up-circle