SYARAHAN ULUNG DATUK BANDAR KUALA LUMPUR – “CLARION CALL: CREATIVE SOLUTIONS TODAY FOR A LIVEABLE TOMORROW”

YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, telah menyampaikan syarahan ulung beliau dalam sebuah majlis anjuran DBKL dan ThinkCity yang berlangsung di Auditorium Bandaraya, Menara DBKL 1.

Dalam syarahan yang bertajuk “Clarion Call: Creative Solutions Today for A Liveable Tomorrow”, beliau mengetengahkan kepentingan pembangunan bandar yang mampan dan terancang mengikut Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040), yang menekankan konsep Bandar Untuk Semua. Beliau turut memberi penekanan terhadap isu perubahan iklim dan ketahanan bandar, serta mengingatkan tentang pentingnya penjagaan alam sekitar dan pemuliharaan ruang hijau sebagai usaha bersama ke arah mencapai matlamat kelestarian DBKL.

Selain itu, beliau juga menyentuh mengenai polisi Pro Poor yang diperkenalkan untuk memastikan setiap lapisan masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah, dapat merasai manfaat daripada pembangunan bandar. Ini termasuk usaha memperkukuh perumahan awam dan membasmi kemiskinan bandar. Dalam syarahan tersebut, beliau turut menggariskan peranan komunikasi strategik dalam pengurusan krisis dan langkah-langkah yang telah diambil untuk memperbaiki tadbir urus DBKL ke arah perkhidmatan yang lebih cekap dan telus.

Majlis ini turut diserikan dengan sesi perkongsian dan soal jawab bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur dan YBhg. Dato Hamdan bin Abdul Majeed, Pengarah Urusan ThinkCity, sebagai panel. Majlis ini dihadiri oleh duta-duta asing ke Malaysia, wakil syarikat korporat, persatuan komuniti, badan bukan kerajaan dan badan profesional.

Newsletters
© 2024 SDG Centre Kuala Lumpur. All rights reserved.
homemagnifiercrossarrow-up-circle