RUANG AWAM IKONIK DI JALAN TUANKU ABDUL RAHMAN

Lanai Seni, ruang awam berkonsepkan Urban Oasis yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur telah dirasmikan pembukaannya oleh YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Direka bentuk dengan gabungan elemen kehijauan, air dan pencahayaan dinamik bertemakan “play of light, lanai ini bukan sahaja menyediakan suasana santai di tengah bandar raya, malah turut berfungsi sebagai pentas komuniti melalui pembinaan amphitheatre bagi penganjuran pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan.

Lanai ini turut menyokong aspirasi Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040, Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon Kuala Lumpur 2030 serta Pelan Tindakan Iklim Kuala Lumpur 2050. Inisiatif ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya Matlamat 3: Kesihatan dan Kesejahteraan serta Matlamat 11: Bandar dan Komuniti Mampan.

Terletak dalam presint pembangunan Andalan 10 Warisan KL yang sinonim sebagai pusat Fesyen dan Tekstil Kuala Lumpur, lanai ini turut diintegrasikan dengan koridor hijau ‘Green Connector’ yang menghubungkan Jalan Palestin hingga ke bangunan JAKEL, sekali gus memudahkan akses pejalan kaki yang lebih selamat dan selesa untuk warga kota.

Salah satu elemen lestari yang diperkenalkan ialah struktur Solar Tree yang dilengkapi dengan enam panel solar PV yang mampu menjana tenaga elektrik sehingga 2400 watt dan mengurangkan pelepasan karbon bersamaan 1,752 kilogram CO₂ setahun – nilai yang setara dengan manfaat ekologi penanaman 83 pokok matang setiap tahun.

Dengan pendekatan reka bentuk yang mampan dan estetika yang menarik, Lanai Seni dijangka menjadi tarikan baharu di ibu negara – sebagai ruang interaksi sosial, aktiviti seni, dan juga destinasi bergambar yang ikonik.

Newsletters
© 2025 SDG Centre Kuala Lumpur. All rights reserved.
homemagnifiercrossarrow-up-circle