Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menganjurkan Retreat Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Piagam Pelanggan DBKL Tahun 2026 sebagai platform strategik bagi memperkukuh hala tuju penyampaian perkhidmatan bandar secara lebih berfokus, sistematik dan berimpak.
Program ini menghimpunkan barisan kepimpinan DBKL bagi menilai pencapaian semasa, menyelaras perancangan KPI 2026 serta memastikan setiap sasaran yang ditetapkan benar-benar menjawab keperluan dan isu sebenar bandar.
Datuk Bandar Kuala Lumpur dalam ucapan pembukaan menegaskan bahawa KPI DBKL perlu beralih daripada sekadar pelaporan angka kepada pendekatan berasaskan penyelesaian dan hasil sebenar yang boleh dirasai oleh warga kota.
Penekanan turut diberikan kepada KPI yang bersifat jelas, boleh diukur, realistik serta selari dengan keutamaan pembangunan bandar.
DBKL komited untuk memastikan setiap perancangan dan sasaran yang digariskan diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan, demi meningkatkan kualiti perkhidmatan serta kesejahteraan warga Kuala Lumpur secara berterusan.



