PROJEK RUANG PERMAINAN KREATIF @ PUSTAKA KL: LANGKAH BAHARU PERPUSTAKAAN SEBAGAI PUSAT ILMU & KEGEMBIRAAN

Pada 10 Mac 2025, bertempat di Anjung Singgahsana DBKL, telah berlangsung Majlis Menandatangani Perjanjian bagi Projek Ruang Permainan Kreatif (Creative Play Section) di Pustaka KL @ Bandar Baru Sentul. Majlis ini merupakan simbolik kepada komitmen berterusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam memperkasa komuniti melalui inisiatif pendidikan yang inklusif, interaktif dan berpaksikan nilai pembangunan insan.

Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh YBhg. Dato' Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato' Yeoh Soo Min, Pemegang Amanah Yayasan YTL, YBhg. Dato’ Hamidah Binti Maktar, Pengarah Eksekutif Sentul Raya Sdn Bhd dan YBrs. Dr Raihan Mohamed, Naib Presiden Persatuan Perpustakaan Permainan Malaysia.

Projek Ruang Permainan Kreatif ini merupakan satu kolaborasi strategik antara DBKL, Yayasan YTL, Sentul Raya Sdn Bhd dan Persatuan Perpustakaan Permainan Malaysia (Toys Library Malaysia - TLM). Ia bertujuan membangunkan sebuah ruang kondusif yang menggabungkan elemen pembelajaran dan permainan bagi menyokong perkembangan sahsiah, kognitif serta daya kreativiti kanak-kanak secara semula jadi dan menyeronokkan.

Ruang ini akan menyediakan akses kepada permainan yang berkualiti dalam suasana yang selamat dan mendidik, khususnya buat kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah (B40).

Melalui konsep pembelajaran berasaskan permainan, kanak-kanak akan berpeluang mengasah kemahiran literasi dan numerasi sejak usia muda, dalam suasana yang lebih santai dan menyeronokkan. Pendekatan ini diyakini mampu menyokong perkembangan awal kanak-kanak secara holistik — bukan sahaja dari segi akademik, malah juga dari aspek sosial dan emosi.

Penubuhan Ruang Permainan Kreatif ini turut diharap mampu memperkasakan peranan institusi perpustakaan sebagai hab pembelajaran moden yang lebih terbuka, mesra komuniti dan mesra keluarga. Ia selaras dengan hasrat DBKL untuk memastikan kemudahan awam terus relevan dengan keperluan semasa, serta mampu menjadi pemangkin kepada pembudayaan ilmu dalam kalangan warga kota.

Dengan inisiatif ini, DBKL yakin bahawa Pustaka KL @ Bandar Baru Sentul bukan sekadar menjadi tempat mencari bahan bacaan, tetapi juga sebagai ruang komuniti yang aktif, inklusif dan memberi nilai tambah kepada pembangunan generasi muda Kuala Lumpur.

Newsletters
© 2025 SDG Centre Kuala Lumpur. All rights reserved.
homemagnifiercrossarrow-up-circle