Pada 9hb. September 2025, YBhg. Dato’ Seri TPr. (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur telah merasmikan Penaiktarafan Taman Kejiranan Perumahan Awam (PA) Seri Sarawak. Projek ini merupakan sebahagian daripada Program Penambahbaikan Ruang Awam (Public Realm Improvement Programme) oleh Merdeka 118 dengan kerjasama DBKL, PNB, PNB Merdeka Ventures, Think City serta komuniti setempat.
Penaiktarafan ini bukan sahaja menyediakan ruang rekreasi yang lebih mesra, inklusif dan selamat, malah mengukuhkan hubungan kejiranan hampir 8,000 penduduk PA Seri Sarawak dan PA Loke Yew di sekitarnya. Inisiatif ini turut menyokong pencapaian matlamat Pelan Struktur dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 ke arah bandar hijau, sihat dan mampan.
Datuk Bandar menegaskan bahawa kejayaan projek ini adalah hasil kerjasama strategik 4P (Public-Private-People-Partnership) yang menjadi teras pembangunan bandar inklusif Kuala Lumpur. DBKL percaya usaha ini bukan sahaja menambah baik pembangunan fizikal, malah memperkukuh ikatan komuniti serta menanam semangat untuk menjaga kemudahan awam bersama.









