Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif menghadiri Khazanah Megatrends Forum 2025 yang berlangsung di Mandarin Oriental Kuala Lumpur dengan tema “Debugging Uncertainty: Lessons from the Grasshopper and the Ant – Living with Risk.”
Dalam sesi bertajuk “Growth and Development: Navigating the Tragedy of the Commons,” Datuk Bandar menekankan bahawa kepimpinan bandar masa kini perlu bersifat rendah diri, berwawasan dan sentiasa belajar dalam menghadapi pelbagai ketidaktentuan global. Beliau menjelaskan bahawa pembangunan bandar tidak seharusnya hanya berfokus kepada keperluan jangka pendek seperti kesesakan lalu lintas dan perumahan, tetapi turut mengambil kira matlamat jangka panjang seperti kelestarian alam sekitar, daya tahan iklim serta kesejahteraan hidup penduduk.
Datuk Bandar turut berkongsi pengalaman beliau semasa menerajui UN-Habitat dalam membangunkan pendekatan perancangan bandar yang berasaskan bukti dan melibatkan penyertaan masyarakat. Pelaksanaan dasar seperti caj kesesakan, zon hijau dan piawaian tenaga perlu disokong dengan kefahaman masyarakat terhadap manfaat jangka panjang yang akan meningkatkan kualiti hidup warga bandar. Kuala Lumpur juga komited untuk memperluaskan penggunaan pengangkutan awam menjelang tahun 2040 sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan pelepasan karbon.
Kuala Lumpur akan terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah bandar raya yang lestari, inklusif dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan antara kemajuan, kesejahteraan dan nilai kemanusiaan.