Sempena ASEAN Women Economic Summit 2025 (AWES 2025) yang berlangsung pada 24 dan 25 Mei 2025 di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur telah dijemput sebagai salah seorang panelis bagi sesi Sustainability & Grassroot Movements Panel Session yang bertemakan “Leadership for Impact: Transforming Business, Sustainability, and Advocacy (Green Leadership)”.
Dalam sesi tersebut, beliau telah berkongsi beberapa inisiatif transformasi yang sedang digerakkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), antaranya Pelan Hala Tuju Sifar Sisa 2040 dan Warisan Kuala Lumpur, yang merupakan sebahagian daripada 15 projek pemangkin di bawah kerangka pembangunan bandar yang inklusif dan mampan. Kedua-dua inisiatif ini dibangunkan berasaskan pendekatan 4P – Public, Private, People Partnership yang menekankan kepentingan kerjasama merentas sektor dalam menangani cabaran bandar secara berkesan.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan tindakan di peringkat tempatan amat penting dalam merealisasikan komitmen global seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Perjanjian Paris. Antara langkah yang telah diambil termasuk pengembangan program pertanian bandar (Urban Farming), pelaksanaan inisiatif komuniti sifar sisa melalui 1 Komuniti 1 Kitar Semula (1C1R), penggunaan sistem pemantauan sisa secara digital, serta pengukuhan ekonomi pekeliling melalui kolaborasi dengan sektor swasta. Usaha ini bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian bandar, malah memperkasa komuniti, terutamanya golongan wanita dan keluarga berpendapatan rendah.
Dato’ Seri turut berkongsi peranan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah kepada tiga acara serantau utama sempena Pengerusi ASEAN 2025 oleh Malaysia, iaitu Forum Perbandaran Mampan ASEAN, Forum Datuk Bandar dan Gabenor ASEAN, serta Mesyuarat Ketua-Ketua Wilayah dan Bandar ASEAN. Kuala Lumpur juga akan menganjurkan Women-Led Cities Masterclass, sebagai kesinambungan kepada inisiatif Women-Led Cities yang telah diperkenalkan beliau pada tahun lalu.
Sesi panel ini turut disertai oleh YBhg. Datuk Nik Amlizan Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan YBhg. Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Capital A. Sesi ini telah dikendalikan oleh YBrs. Encik Kuok Meng Xiong, Pengarah Urusan Kuok Brothers Sdn. Bhd merangkap Pengasas K3 Ventures.
Persidangan AWES 2025 merupakan platform serantau anjuran Women Leadership Foundation (WLF) dengan kerjasama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Ia bertujuan memperkukuh pemerkasaan wanita, mempromosi kepimpinan inklusif dan menerajui pembangunan mampan serta kerjasama ekonomi merentas ASEAN, selaras dengan visi Malaysia MADANI dan tema ASEAN 2025.