Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan Sistem Permit Infrastruktur (ePermit), sebuah platform digital bersepadu yang bertujuan mentransformasikan pengurusan permit infrastruktur bandar raya secara lebih cekap, telus dan berasaskan data.
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur bertempat di Mayor Courtyard, Jalan Tangsi, Kuala Lumpur.
Pelancaran ePermit ini selari dengan agenda reformasi perkhidmatan awam seperti yang digariskan dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 YAB Perdana Menteri, yang menekankan keperluan pendigitalan perkhidmatan kerajaan secara menyeluruh, berpaksikan kecekapan, ketelusan serta keperluan rakyat dan industri.
ePermit dibangunkan sebagai portal sehenti yang merangkumi pengurusan Permit Korekan Jalan, Permit Pengurusan Lalulintas dan Permit Lori Angkut Bahan. Melalui sistem ini, keseluruhan rantaian proses didigitalkan sepenuhnya, bermula daripada penyerahan permohonan, semakan antara jabatan, kelulusan, pembayaran dalam talian, pengeluaran permit digital sehingga pemantauan kerja di tapak secara masa nyata.
Pelaksanaan ePermit dijangka memberi impak positif kepada pengurusan pembangunan bandar, termasuk mempercepatkan tempoh pemprosesan permit, meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti, mengurangkan kesilapan perancangan serta memudah cara aktiviti ekonomi dan pelaburan di Kuala Lumpur.



