Pada 12hb. November 2025, Datuk Bandar Kuala Lumpur hari ini menerima kunjungan hormat HE Mr. Sergey Cheremin, Minister of the Government of Moscow merangkap Head of the Department for External Economic and International Relations of Moscow, bagi membincangkan peluang memperkukuh hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dan Moscow. Pertemuan ini turut dihadiri wakil dari Kedutaan Persekutuan Rusia ke Malaysia, sekali gus menzahirkan komitmen bersama dalam meneruskan kerjasama bandar-ke-bandar yang telah lama terjalin.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak membincangkan pelbagai potensi kerjasama strategik, termasuk transformasi digital, pembangunan teknologi Smart City, penghasilan dan penggunaan Digital Twin, mobiliti pintar, pengurusan data bandar serta inisiatif kelestarian dan ketahanan iklim. Moscow turut berkongsi pengalaman dalam transformasi persekitaran bandar, integrasi platform digital serta pembangunan infrastruktur pintar, yang dapat menyokong agenda pembangunan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya moden dan berdaya saing.
Kedua-dua bandar turut menyentuh peluang mengadakan program dan acara bersama pada masa hadapan, termasuk cadangan penganjuran festival Malaysia di Moscow, pertukaran teknikal serta penyertaan dalam forum antarabangsa.
Pertemuan ini menegaskan komitmen Kuala Lumpur dan Moscow untuk terus meneroka ruang kerjasama yang dapat memperkukuh pembangunan bandar, meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan serta memacu inovasi demi manfaat bersama penduduk kedua-dua bandar.





