13 UNIVERSITI AWAM SERTAI PROGRAM ECORACE: HIJAU DAN SEJAHTERA SEMPENA SAMBUTAN HARI ALAM SEKITAR NEGARA 2025 DI KUALA LUMPUR

Sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2025 bertemakan “Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama”, pada 1hb. September 2025 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah menganjurkan Program Ecorace: Hijau dan Sejahtera yang berlangsung di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur.

Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Ismadi bin Sakirin, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, dan turut dihadiri oleh wakil agensi kerajaan, institusi pendidikan serta komuniti setempat.

Program ini merupakan inisiatif berbentuk aktiviti luar yang menggabungkan elemen pendidikan alam sekitar, cabaran fizikal dan semangat kerjasama berpasukan bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan lestari. Sebanyak 13 Universiti Awam dari seluruh negara mengambil bahagian bersama agensi kerajaan, swasta, SWCorp, Alam Flora Sdn. Bhd. serta komuniti tempatan dalam menjayakan penganjuran kali ini.

Selain pertandingan eco race, turut diadakan Pameran Alam Sekitar dan Green Market (Eco Free Market) yang mempromosikan amalan guna semula dan pengurangan sisa sejajar dengan prinsip ekonomi kitaran. Program ini turut menyokong aspirasi Pelan Hala Tuju Kuala Lumpur ke Arah Sifar Sisa 2040, yang menyasarkan pengurangan sisa pepejal ke tapak pelupusan melalui peningkatan amalan kitar semula dan pengasingan sisa di punca.

Melalui penglibatan pelbagai agensi, institusi pendidikan dan komuniti setempat, program ini mencerminkan semangat pendekatan 4P – Public, Private, People dan Partnership, dalam memastikan keseimbangan antara kemajuan bandar dan kelestarian alam sekitar, ke arah Kuala Lumpur yang hijau, bersih dan sejahtera.

Newsletters
© 2026 SDG Centre Kuala Lumpur. All rights reserved.
homemagnifiercrossarrow-up-circle