Topic: Industry

Pengauditan Pelaksanaan Kuala Lumpur Augmented Reality City Trail (KLACT)

Audit terhadap pelaksanaan aplikasi Kuala Lumpur Augmented City Trail (KLACT) telah mengenal pasti beberapa kelemahan ketara dalam aspek pematuhan kontrak, pengurusan projek, pelaksanaan teknikal serta pencapaian objektif strategik aplikasi. Projek ini yang bertujuan memperkenalkan elemen pelancongan melalui teknologi AR tidak mencapai tahap keberkesanan yang optimum disebabkan oleh kelewatan pemeteraian kontrak, kelemahan dalam perancangan awal, ketidakpatuhan kepada jadual pelaksanaan serta isu teknikal dan operasi yang memberi kesan kepada pengguna aplikasi.

Antara isu utama yang ditemui termasuk dokumen perjanjian lewat dimeterai, pelaksanaan projek melebihi tempoh kontrak yang dibenarkan, pengurusan permohonan lanjutan tempoh kontrak (EOT) yang tidak efisien, baki kontrak tidak dikemaskini serta perancangan yang tidak komprehensif menjejaskan pembangunan skop dan modul. Selain itu, teknologi AR yang digunakan tidak mesra pengguna dan boleh menjejaskan keberkesanan infrastruktur digital pintar. Strategi promosi yang lemah serta isu kebersihan dan vandalisme turut menjejaskan nilai keseluruhan projek ini.

Keadaan ini menunjukkan bahawa walaupun sejumlah besar perbelanjaan telah dikeluarkan, manfaat yang diperoleh oleh pengguna masih rendah dan matlamat pembangunan sistem digital pelancongan berasaskan AR masih belum berjaya dicapai dengan sempurna. Kegagalan memenuhi objektif yang digariskan dalam URS serta ketidakseimbangan antara kos dan manfaat membuktikan bahawa prinsip "value for money" tidak dapat dicapai sepenuhnya.

Audit berpandangan bahawa kelemahan ini perlu diberi perhatian segera memandangkan KLACT merupakan antara inisiatif yang seiring dengan aspirasi kerajaan ke arah pendigitalan perkhidmatan awam dan penerapan teknologi pintar, termasuk Artificial Intelligence (AI) dalam pembangunan bandar raya masa hadapan. Tambahan pula, Kuala Lumpur terlibat secara langsung dalam Kepengerusian ASEAN 2025 dan bakal menjadi tumpuan serantau sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Sehubungan itu, Audit mencadangkan penambahbaikan menyeluruh terhadap aspek dokumentasi dan pemantauan projek, penilaian awal keperluan teknikal serta pematuhan kepada syarat kontrak. Perhatian serius juga perlu diberikan terhadap aspek kebersihan lokasi, pengalaman pengguna dan strategi promosi yang lebih menyeluruh agar projek ini benar-benar memberi impak yang signifikan kepada sektor pelancongan bandar dan menyumbang kepada penjenamaan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya pintar.

Newsletters
© 2025 SDG Centre Kuala Lumpur. All rights reserved.
homemagnifiercrossarrow-up-circle