Kuala Lumpur Prosperity Celebration 2025 bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dengan tujuan menghimpunkan penduduk tempatan serta pelancong dalam satu perayaan yang mencerminkan semangat perpaduan dan kepelbagaian budaya.
Majlis ini dihadiri oleh YB Dr. Zaliha binti Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, duta-duta asing dan rakan strategik yang turut bersama-sama menjayakan program ini.
Penganjuran program ini adalah bagi mengetengahkan daya, tradisi, dan perayaan masyarakat Malaysia sejajar dengan nilai kesejahteraan dan hormat dalam gagasan Malaysia MADANI selain turut menyokong industri pelancongan Kuala Lumpur. Ia turut memberi peluang kepada para pelancong untuk merasai kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina, menikmati hidangan perayaan istimewa, serta menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan.
Selain itu, para tetamu turut berpeluang meneroka dan menghayati warisan budaya masyarakat Cina di Malaysia melalui aktiviti seni dan kraf interaktif.
Program ini turut menampilkan pelbagai elemen tradisional dan moden yang mencerminkan keharmonian masyarakat Malaysia. Antara tarikan utama ialah persembahan kebudayaan seperti Tarian Multiracial, Tarian Singa, dan Chingay, selain demonstrasi seni dan kraf seperti Pembuatan Simpul Cina (Chinese Knot Making) serta Pembuatan Anak Patung Cina (Chinese Doll Making).
Penganjuran KL Prosperity Celebration 2025, sudah pastinya menjadi simbol kepada perpaduan, kemakmuran, serta keunikan budaya di Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan, seiring dengan visi menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya bertaraf dunia yang dinamik dan inklusif.