Pada 24hb. September 2025, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menganjurkan sesi IDB TALK bertajuk “ESG? Apa Tu? Tak Faham La” yang bertujuan memberi pendedahan awal serta kefahaman asas mengenai konsep Environmental, Social & Governance (ESG) kepada pegawai dan kakitangan DBKL.
Program ini telah dihadiri oleh YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur bersama YBhg. Dato’ Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan. Turut sama menjayakan sesi perkongsian ilmu ialah Encik Asfaazam Kasbani, Pengarah Pusat SDG Negara, Kementerian Ekonomi, dan Hj. Ismail bin Abdullah, Presiden & CEO International Green Trends Cockpit (IGTC) Sdn. Bhd.
Objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan tentang kepentingan setiap komponen dalam ESG terhadap keputusan organisasi, dasar dan pelaburan DBKL, di samping meningkatkan kesedaran warga kerja tentang amalan ESG serta bagaimana mereka boleh menyumbang ke arah menjayakan matlamat kelestarian bandar raya.
Diharapkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh melalui program ini akan menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh agenda tadbir urus baik, kesejahteraan masyarakat serta pembangunan mampan, sekali gus menggerakkan Kuala Lumpur ke arah bandar raya hijau, inklusif dan lestari demi kesejahteraan warga kota.






