SESI TEH TARIK REHDA WPKL BERSAMA DATUK BANDAR KUALA LUMPUR: MEMPERKUKUH KERJASAMA KE ARAH BANDAR YANG LEBIH INKLUSIF DAN MAMPAN

YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur telah menghadiri sesi Teh Tarik anjuran REHDA Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berlangsung di Holiday Inn Kuala Lumpur pada hari ini.

Sesi santai tetapi penuh makna ini menjadi wadah perbincangan terbuka antara pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan para pemain industri hartanah, khususnya berkaitan hala tuju pembangunan bandar raya Kuala Lumpur yang lebih mampan, progresif dan inklusif.

Dalam perkongsian beliau, Datuk Bandar menekankan beberapa inisiatif penting, termasuk pelaksanaan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) yang telah diwartakan pada 28 Mei 2025 dan dijangka berkuat kuasa mulai pertengahan Jun. Pelan ini bukan sekadar dokumen perancangan, tetapi merupakan komitmen bersama untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar yang inklusif, berdaya tahan dan berdaya saing.

Beliau turut berkongsi tentang penambahbaikan terhadap beberapa garis panduan utama seperti Garis Panduan Residensi MADANI, Garis Panduan Pembaharuan Bandar dan Garis Panduan Perancangan Ruang Terbuka yang kini sedang dikaji semula agar lebih relevan dan berkesan. Inisiatif ini antara lain bertujuan menyokong agenda perumahan mampu milik, mempercepatkan kelulusan pembangunan serta meningkatkan kualiti ruang hijau dan kesejahteraan warga kota.

Bagi mengatasi isu kelewatan dalam pemprosesan permohonan pembangunan, DBKL sedang menambah baik senarai semak OSC dan kriteria penilaian perancangan agar proses kelulusan lebih cekap tanpa mengabaikan integriti dan tadbir urus.

Datuk Bandar juga menekankan kepentingan mengekalkan identiti bandar melalui inisiatif Warisan Kuala Lumpur, yang bertujuan memulihara aset bersejarah dan memperkukuh ekosistem budaya serta pelancongan di ibu kota.

Dalam semangat kerjasama dan keterlibatan, beliau turut menjemput REHDA WPKL untuk menyertai beberapa acara utama yang bakal berlangsung sempena Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, termasuk ASEAN Governors and Mayors Forum (AGMF), ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF), dan KL Park Festival 2025 yang bakal diadakan Oktober ini di Taman Tasik Titiwangsa.

Sesi ini membuktikan bahawa melalui dialog terbuka dan perkongsian aspirasi, kita dapat memperkukuh kerjasama strategik demi menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang bukan sahaja selesa didiami, tetapi juga disayangi oleh semua lapisan masyarakat.

Newsletters
© 2025 SDG Centre Kuala Lumpur. All rights reserved.
homemagnifiercrossarrow-up-circle