Skuad Kecemasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berperanan sebagai pasukan barisan hadapan dalam mengendalikan pelbagai aduan dan insiden kecemasan di sekitar ibu kota secara pantas dan berkesan demi keselamatan serta kesejahteraan warga kota.
Antara fungsi utama skuad ini termasuk mengendalikan kes pokok tumbang dan dahan sekah, gangguan lebah dan tebuan, tumpahan minyak di jalan awam, gangguan haiwan liar, papan tanda tumbang, jalan berlubang, mainhole terbuka serta halangan di laluan awam.
Selaras dengan usaha memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan bandar yang lebih responsif dan berdaya tahan, DBKL menyediakan sebuah bangunan baharu Skuad Kecemasan di Jalan Cheras sebagai pusat operasi bersepadu bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan, kecekapan operasi serta pengurusan logistik pasukan tersebut.
Bangunan baharu Skuad Kecemasan dirasmikan oleh YB Puan Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dengan kehadiran YBhg. Datuk Seri TPr Fadlun bin Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Pembinaan bangunan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pemusatan dan pemerkasaan operasi yang dilaksanakan DBKL melibatkan pemusatan kakitangan daripada Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi (JPLR) serta Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal (JKME) bersama aset dan logistik operasi bagi memperkukuh keupayaan Skuad Kecemasan DBKL.
Untuk rekod, Skuad Kecemasan DBKL diwujudkan pada tahun 1965 sebelum diperkasakan sebagai Unit Kecemasan pada tahun 1970 di bawah Jabatan Perkhidmatan Bandar. Kini, skuad ini dianggotai seramai 59 orang kakitangan dan ditempatkan di Bahagian Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) DBKL.
Skuad Kecemasan DBKL menjalinkan kerjasama strategik bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan setiap insiden kecemasan dapat ditangani secara terselaras dan efektif.
Sepanjang tahun 2025, sebanyak 2,254 aduan berjaya dikendalikan dengan kes pokok tumbang dan dahan sekah mencatat jumlah tertinggi iaitu sebanyak 1,781 kes. Sejak Januari hingga April 2026 pula, sebanyak 732 aduan telah diterima dan diselesaikan melibatkan pelbagai kategori kecemasan di sekitar Kuala Lumpur.
Dengan adanya pusat operasi bersepadu baharu ini, pasukan Skuad Kecemasan DBKL diharapkan dapat memberikan perkhidmatan bandar yang lebih cekap dan responsif demi kesejahteraan warga kota.
YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) turut menyumbangkan sebanyak RM60,000 kepada DBKL, daripada jumlah tersebut, RM30,000 disalurkan kepada Skuad Penyelamat DBKL manakala RM30,000 lagi diperuntukkan kepada Skuad Kecemasan DBKL.


