Pada 7hb. Februari 2026, telah berlangsungnya Program Mega BEST (Bersih Setiap Tempat) Parlimen Segambut bertempat di Dutamas Raya yang telah dirasmikan oleh YBrs. Tuan Ismadi bin Sakirin, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi, dengan penyertaan seramai 150 orang peserta.
Program ini merangkumi pelbagai aktiviti antaranya agihan peralatan gotong-royong, aktiviti plogging, kerja-kerja sapuan jalan, cantasan pokok, aktiviti fogging, mengecat kerb, pelaksanaan program Trash To Cash serta pengumpulan E-Waste.
Turut terlibat dalam pelaksanaan program tersebut ialah SwCorp, Alam Flora, PEMADAM Segambut, Balai Bomba Manjalara, Majlis Perwakilan Penduduk Parlimen Segambut, Persatuan Penduduk Dutamas Raya, Jabatan Belia dan Sukan serta Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Hasil gotong-royong yang direkodkan oleh SWCorp di kawasan Dutamas Raya melibatkan kutipan sisa pepejal dengan jumlah keseluruhan sebanyak 178 kilogram, merangkumi kertas dan kotak pembungkusan sebanyak 26 kilogram, plastik sebanyak 20 kilogram, kaca sebanyak 2 kilogram, aluminium sebanyak 5 kilogram serta lain-lain sisa sebanyak 125 kilogram.
Program ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kebersihan persekitaran, pengurusan sisa secara bertanggungjawab serta penglibatan komuniti dalam mewujudkan kawasan Parlimen Segambut yang bersih, lestari dan berdaya huni.




