PORTAL DAN APLIKASI VISITKL RASMI DILANCARKAN

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melancarkan portal dan aplikasi mudah alih VisitKL yang dibangunkan sebagai pusat sehenti pelancongan Kuala Lumpur. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, dalam satu majlis yang berlangsung di Mayor’s Courtyard, Jalan Tangsi.

VisitKL berperanan sebagai platform utama bagi mempromosikan sektor pelancongan di ibu negara. Melalui portal dan aplikasi ini, orang ramai boleh mengakses pelbagai maklumat berkaitan destinasi pelancongan ikonik, acara budaya, aktiviti tempatan serta pengalaman menarik yang ditawarkan di sekitar Kuala Lumpur. Selain itu, VisitKL turut memuatkan Calendar of Events bagi membolehkan pelawat mendapatkan maklumat terkini tentang aktiviti dan program yang dianjurkan oleh DBKL sepanjang tahun.

Pelancaran VisitKL merupakan salah satu usaha strategik DBKL dalam menyokong Kepengerusian ASEAN 2025 dan persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026. Bagi memastikan kesiapsiagaan bandar raya Kuala Lumpur dari pelbagai aspek, DBKL turut menubuhkan dua jawatankuasa khas yang berperanan memperkukuh inisiatif pengindahan bandar serta kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.

DBKL yakin bahawa dengan adanya platform VisitKL, Kuala Lumpur akan terus berkembang sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa yang lebih berdaya saing, tersusun dan mesra pengunjung. Orang ramai dialu-alukan untuk melayari portal ini dan memuat turun aplikasi VisitKL yang kini tersedia di Google Play Store dan Apple App Store.

Newsletters
© 2025 SDG Centre Kuala Lumpur. All rights reserved.
homemagnifiercrossarrow-up-circle