Berkuat kuasa Januari 2026, kadar fi lesen operasi gimnasium ditetapkan pada RM10 bagi setiap meter persegi berbanding RM50 sebelum ini, iaitu pengurangan sebanyak 80 peratus.
Langkah ini merupakan pendekatan proaktif dalam memperkasa agenda Bandar Sihat, selaras dengan keperluan menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi, khususnya di kawasan bandar.
Data National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023 menunjukkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan kadar berat badan berlebihan tertinggi di Malaysia, sekali gus menuntut pendekatan dasar yang lebih responsif dan bersasar di peringkat bandar.
Seiring dengan penurunan fi lesen ini, pengusaha gimnasium digalakkan menyalurkan manfaat tersebut kepada masyarakat melalui tawaran diskaun keahlian pada waktu tertentu serta kadar khas kepada warga emas bagi menyokong penuaan aktif dan sihat.


