YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, telah menyampaikan ucaptama dalam Lunch Forum anjuran REHDA Institute bertemakan “Resilient Cities, Sustainable Futures”.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan hasrat menjadikan Kuala Lumpur bukan sekadar sebuah bandar yang selesa untuk didiami, tetapi sebuah bandar yang benar-benar disayangi oleh warganya. Usaha ini digerakkan melalui pelbagai inisiatif seperti Program Flagship DBKL yang merangkumi mobiliti pintar, perumahan inklusif, keselamatan makanan, dan ruang awam yang memupuk rasa kebersamaan.
Beliau turut berkongsi kejayaan Inisiatif Sifar Sisa seperti MySaveFood yang berjaya menyelamatkan lebih 11,000 kilogram makanan lebihan sepanjang Ramadan lalu. Program Anak Angkat Ruang Awam dan penghasilan Mural Batik MADANI menjadi simbol kolaborasi antara DBKL, komuniti dan sektor swasta.
Kuala Lumpur juga bersedia memainkan peranan serantau sebagai tuan rumah kepada tiga acara utama ASEAN pada Ogos ini. Datuk Bandar turut mengajak semua untuk hadir memeriahkan Festival Taman Kuala Lumpur 2025 pada bulan Oktober di Taman Tasik Titiwangsa, dengan tema “ASEAN: Unity in Diversity.”