Sejak Disember 2021, sebanyak 108 aduan kejadian tanah runtuh telah diterima oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, DBKL. Sebanyak 59 daripada aduan tersebut merupakan kejadian tanah runtuh yang berlaku di dalam kawasan rezab jalan DBKL manakala 49 cerun berada di dalam kawasan dan di bawah tanggungjawab pihak persendirian.
Lanjutan itu, Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran, DBKL mengambil intiatif dengan menganjurkan Program Taklimat Kesedaran Awam Cerun di Kuala Lumpur selaras dengan pelancaran Buku Garis Panduan Penyenggaraan Cerun Kawasan Tanah Bermilik di Kuala Lumpur pada 7 Februari 2024 oleh Jabatan Perancangan Infrastruktur, DBKL.
Sebanyak lima (5) siri program ini telah dirancang bagi tahun 2024 yang merangkumi dan melibatkan keseluruhan parlimen (11 parlimen) di Kuala Lumpur. Dua (2) siri program ini telah berjaya diadakan iaitu:
Perancangan program selanjutnya adalah seperti berikut:
Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada orang awam berkenaan cerun dan kepetingan penyelenggaraan cerun khususnya di kawasan tanah bermilik. Objektif utama program ini adalah untuk mengurangkan kebarangkalian kejadian tanah runtuh di Kuala Lumpur terutamanya di dalam kawasan tanah bermilik.
Seramai tiga (3) orang penceramah daripada pelbagai agensi/institusi yang berkaitan telah dijemput untuk memberikan taklimat. Antara topik taklimat yang disentuh termasuklah pengenalan kepada struktur geologi di Kuala Lumpur, jenis-jenis cerun, tanda-tanda awal dan tindakan pencegahan insiden tanah runtuh serta cara-cara untuk menubuhkan komuniti pemantuan cerun setempat.
Program ini juga berkait rapat dengan agenda global, Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (Sustainable Development Goals, SDG) dan sejajar dengan Perkara 11, Matlamat Pembangunan Mampan 2030 iaitu, Bandar dan Komuniti Yang Mampan dengan menjadikan bandar raya dan penempatan manusia sebagai menyeluruh, selamat, berdaya tahan dan mampan.
Seperti yang kita tahu, cerun merupakan sebahagian penting dari landskap kita yang memberikan keindahan pemandangan, peluang rekreasi, dan fungsi ekologi. Walau bagaimanapun, jika tidak dijaga dengan baik, ia boleh mendatangkan risiko yang signifikan seperti kejadian tanah runtuh dan yang lebih teruk, melibatkan keselamatan orang awam.
Justeru, dengan meningkatkan kesedaran awam tentang penjagaan cerun yang selamat, kita dapat melahirkan komuniti yang boleh mengenal potensi risiko cerun seterusnya boleh mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan risiko tersebut. Dengan memastikan keselamatan cerun dijaga, secara tidak langsung kita telah menyumbang kepada pembentukan asas bandar yang rapi dan mampan di mana kita dapat melindungi komuniti setempat daripada kejadian bencana alam yang boleh meragut nyawa.