DBKL PERKASA PENGURUSAN KENDERAAN BURUK & TERSADAI DI KUALA LUMPUR

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus memperkukuh kecekapan pengurusan kenderaan buruk dan tersadai di sekitar bandar raya bagi memastikan persekitaran yang lebih tersusun, bersih dan selamat untuk warga kota.

DBKL telah melaksanakan Peluncuran Program Pelupusan Kenderaan Buruk/Tersadai Secara Sukarela di kawasan Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebagai salah satu inisiatif mempertingkatkan kualiti persekitaran dan kesejahteraan penduduk.

Hadir dalam sesi peluncuran tersebut ialah YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Ir. Ts. Zahir bin Hassan, Ahli Parlimen Wangsa Maju serta YBhg. Datuk Seri TPr Fadlun bin Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Sepanjang tempoh 2022 hingga 2025, DBKL telah melaksanakan lebih 4,500 tindakan tunda atau angkut hasil daripada lebih 9,600 aduan awam yang diterima. Bagi tahun 2026 pula, sebanyak 768 kenderaan telah dilupuskan sehingga awal April. Bagi menyokong operasi ini, DBKL menyediakan tiga depoh utama di Taman Connaught, Cheras; Pantai Sentral, Lembah Pantai; dan Jalan Mas, Chan Sow Lin dengan kapasiti keseluruhan mencecah 3,100 kenderaan.

Dalam usaha meningkatkan kecekapan pelaksanaan, DBKL telah melantik Tetuan Car Medic Sdn. Bhd. sebagai penyedia perkhidmatan yang merangkumi kerja tunda dan angkut, penyediaan logistik serta pelupusan secara lestari. Program pelupusan secara sukarela turut diperkenalkan khususnya di kawasan perumahan awam dan strata bagi menggalakkan pemilik melupuskan kenderaan secara sah.

Melalui inisiatif ini, pemilik kenderaan boleh membuat pembatalan pendaftaran melalui sistem e-Dereg dengan proses pengesahan yang cepat, selain menerima ganjaran tunai antara RM100 hingga RM2,000 mengikut jenis dan keadaan kenderaan.

DBKL juga akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berperingkat. Setiap kenderaan akan melalui siasatan awal dan notis akan dikeluarkan kepada pemilik. Kegagalan mematuhi notis akan mengakibatkan tindakan tunda atau angkut diambil, termasuk pemindahan ke depoh simpanan sebelum dilupuskan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Sehubungan itu, DBKL menyeru kerjasama semua pemilik kenderaan agar lebih bertanggungjawab dan tidak membiarkan kenderaan tersadai di tempat awam. Orang ramai yang ingin melupuskan kenderaan secara sukarela boleh menghubungi pihak penyedia perkhidmatan bagi tindakan lanjut.

DBKL komited memastikan pengurusan kenderaan buruk dan tersadai dilaksanakan secara sistematik, cekap dan mampan demi kesejahteraan serta kualiti hidup warga kota Kuala Lumpur.

Newsletters
© 2026 SDG Centre Kuala Lumpur. All rights reserved.
homemagnifiercrossarrow-up-circle