YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bersama YBhg. Datuk Seri TPr Fadlun bin Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur hari ini telah mengadakan lawatan ke fasiliti Car Medic di Semenyih bagi meninjau proses pelupusan kenderaan sitaan dan kenderaan buruk di bawah operasi DBKL.
DBKL terus mempergiat tindakan terhadap kenderaan buruk dan tersadai di sekitar ibu kota bagi memastikan Kuala Lumpur kekal bersih, selamat dan teratur demi kesejahteraan warga kota.
Bagi tempoh tahun 2022 hingga 2025, DBKL telah menerima sebanyak 9,411 aduan berkaitan kenderaan buruk dan tersadai di sekitar Kuala Lumpur. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4,637 kenderaan berjaya ditarik keluar untuk tindakan lanjut dan 4,622 daripadanya telah dilupuskan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Bagi tahun 2026 sehingga Mei pula, sebanyak 1,504 kenderaan lagi berjaya ditarik keluar dan ditempatkan di depoh DBKL untuk proses pelupusan.
Kenderaan tersadai bukan sahaja mencacatkan pemandangan bandar malah boleh mengundang risiko keselamatan, vandalisme serta pembiakan nyamuk di kawasan perumahan. Justeru, DBKL akan terus mengambil langkah lebih proaktif termasuk mempercepatkan proses pelupusan melalui kerjasama strategik bersama agensi berkaitan demi memastikan ruang awam di Kuala Lumpur sentiasa terpelihara.


