Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan United Cities and Local Governments Asia-Pacific (UCLG-ASPAC) telah menandatangani perjanjian kerjasama rasmi bagi penganjuran Meeting of Governors and Mayors of ASEAN Capitals 2025 (MGMAC 2025) yang dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 14 Ogos 2025 bersempena ASEAN Malaysia 2025.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut telah diadakan pada 7 April 2025 bertempat di Hotel Impiana, Jalan Pinang, Kuala Lumpur. DBKL telah diwakili oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, manakala UCLG-ASPAC pula diwakili oleh Setiausaha Agungnya, Dr. Bernadia Irawati Tjandradewi.
Penganjuran MGMAC 2025 merupakan satu platform penting yang menghimpunkan pemimpin bandar utama dari negara-negara ASEAN bagi membincangkan isu-isu pembangunan bandar yang mampan serta bertukar pandangan, pengalaman dan strategi dalam menangani cabaran urbanisasi serantau. MGMAC berfungsi sebagai forum bagi gabenor dan datuk bandar untuk berkongsi pengalaman, idea, dan strategi dalam menangani cabaran urbanisasi di rantau ini.
Bagi edisi tahun 2025, Kuala Lumpur telah dipilih sebagai tuan rumah bagi forum berprestij ini. Pelbagai topik akan dibincangkan sepanjang penganjuran, termasuk aspek pembangunan mampan, kesejahteraan komuniti bandar, transformasi digital serta ketahanan bandar terhadap perubahan iklim. Pemilihan tema-tema ini mencerminkan komitmen Kuala Lumpur dan rakan-rakan serantau dalam merealisasikan agenda pembangunan bandar sejagat yang progresif dan inklusif.
Sebagai tuan rumah, DBKL akan memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran penganjuran MGMAC 2025 di samping menonjolkan Kuala Lumpur sebagai bandar raya serantau yang berdaya saing, berinovasi dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.