YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur telah diberi penghormatan sebagai salah seorang panel jemputan dalam program INTAN MINDSHARE: Inovasi Tadbir Urus Malaysia – Meneroka Kolaborasi Rentas Sektor Demi Masa Depan yang berlangsung di Auditorium INTAN, Bukit Kiara.
Dalam sesi panel tersebut, beliau telah membawakan tajuk “Penglibatan Rakyat Dalam Tadbir Urus: Kuasa Rakyat Dalam Membuat Keputusan” yang menekankan kepentingan keterlibatan masyarakat sebagai rakan strategik dalam membentuk keputusan dasar dan pembangunan. Beliau turut berkongsi pengalaman luas beliau di peringkat tempatan dan antarabangsa mengenai bagaimana sistem tadbir urus yang inklusif dan responsif dapat dicapai apabila suara rakyat diberi ruang yang sepatutnya.
Dalam ucapannya, Datuk Bandar turut memperkenalkan beberapa pendekatan strategik yang sedang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam memperkukuh amalan pentadbiran moden dan berkesan. Pendekatan pertama ialah konsep 4P - Public, Private, People dan Partnership yang menggabungkan kerjasama sektor awam, swasta dan komuniti bagi menjayakan pembangunan bandar secara menyeluruh.
Beliau turut mengetengahkan penggunaan kerangka RACI - Responsible, Accountable, Consulted dan Informed dalam memperjelas peranan dan tanggungjawab semua pihak yang terlibat dalam pengurusan dan pelaksanaan projek, sekali gus mempertingkat ketelusan dan kecekapan organisasi. Satu lagi pendekatan yang menjadi amalan DBKL ialah prinsip CATEE - Competent, Accountable, Transparent, Efficient dan Effective sebagai panduan dalam setiap aspek perkhidmatan bandar.
Konsep bandar Liveable and Loveable turut diperjelaskan dalam konteks Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang bukan sekadar selesa untuk didiami, malah disayangi dan dimiliki oleh warganya melalui persekitaran yang mampan dan inklusif.
Penyertaan beliau dalam platform seperti ini mencerminkan komitmen berterusan DBKL dalam meneroka amalan tadbir urus inovatif yang berpaksikan rakyat, demi membina masa depan Kuala Lumpur yang lebih progresif, berdaya tahan, berdaya huni dan disayangi semua.