Pagi ini, YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, telah meluangkan masa bagi melepaskan peserta KL Half Marathon bagi kategori 10KM yang berlangsung di Dataran Merdeka.
Program KL Half Marathon diadakan serentak dengan Larian Wilayah Persekutuan peringkat Kuala Lumpur dan mendapat sambutan luar biasa apabila berjaya menghimpunkan 6,847 peserta, melebihi sasaran awal 6,000 peserta yang ditetapkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Larian ini dianjurkan bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 dan bertujuan untuk memperkukuhkan interaksi masyarakat serta mengeratkan perpaduan dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan melalui amalan gaya hidup sihat. Program ini merupakan siri ketiga selepas siri pertama yang berlangsung di Putrajaya pada 1 Februari 2025 dan siri kedua di Labuan pada 9 Februari 2025.
Sejurus selepas pelepasan peserta larian, Datuk Bandar Kuala Lumpur turut melepaskan peserta bagi program Kuala Lumpur Car Free Morning (KLCFM) yang bermula di Dataran DBKL. Beliau juga meluangkan masa untuk berjalan bersama peserta, menzahirkan sokongan terhadap inisiatif mesra alam dan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kota.
Diharapkan penganjuran program ini dapat melahirkan generasi yang cergas secara fizikal dan cerdas secara minda, sekali gus menyokong aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang sejahtera, lestari, dan mesra komuniti.