YB Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Presiden United Nations Habitat Assembly, telah menutup tirai tiga perhimpunan berprestij ASEAN iaitu ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF), ASEAN Governors and Mayors Forum (AGMF) serta Meeting of Governors and Mayors of ASEAN Capitals (MGMAC) 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre.
Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dr. Bernadia Irawati Tjandradewi, Secretary General United Cities and Local Governments Asia Pacific (UCLG ASPAC) serta wakil-wakil daripada negara ASEAN.
Acara ini telah menarik penyertaan lebih 9,120 peserta dari 66 negara, termasuk lebih 300 gabenor dan datuk bandar, pembuat dasar, pengamal pembangunan bandar, rakan kerjasama antarabangsa serta pakar-pakar bandar dari seluruh ASEAN.
Antara pencapaian utama daripada tiga forum ini adalah ASUF yang memperkukuh penyelarasan dengan Strategi Pembandaran Mampan ASEAN (ASUS) dan Wawasan Komuniti ASEAN 2045, memacu penyelesaian bandar bersepadu berteraskan rakyat serta memeterai sepuluh Memorandum Persefahaman. AGMF pula telah menggubal Tindakan Bersama 2025 bagi bandar berteraskan rakyat dan berdaya tahan, termasuk transformasi digital, penyesuaian iklim berasaskan komuniti serta memperkukuh penglibatan wanita dan belia dalam tadbir urus bandar. MGMAC pula telah mengeluarkan Joint Communique MGMAC 2025 yang memperkukuh rangkaian bandar ibu negara, mempromosi Laporan Semakan Sukarela Tempatan (VLR) serta memajukan inisiatif iklim dan sifar sisa.
Datuk Bandar Kuala Lumpur dalam ucapannya berkata bahawa kejayaan penganjuran minggu ini membuktikan bahawa apabila kepimpinan tempatan berganding bahu dengan rakan kerjasama, idea mampu diterjemahkan kepada tindakan. Beliau turut menzahirkan rasa bangga kerana Kuala Lumpur menjadi platform penting memperkukuh rangkaian bandar ASEAN serta memacu amalan terbaik seperti daya tahan iklim, inisiatif sifar sisa, tadbir urus inklusif, transformasi digital dan pemeliharaan budaya.
Kesepakatan yang dicapai sepanjang penganjuran ini telah membawa kepada penggubalan Resolusi Kuala Lumpur mengenai Pembandaran Mampan 2025 yang akan dibawa sebagai input rasmi ke Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN ke-47 pada Oktober ini.
Sebagai bandar tuan rumah, DBKL berbangga dengan kerjasama erat semua pihak yang telah menjayakan penganjuran ini dan akan terus komited memacu agenda bandar mampan, inklusif dan inovatif di rantau ASEAN.


