KUALA LUMPUR DAN JAKARTA PERKUKUH JALINAN KERJASAMA

Pada 11hb. Ogos 2025 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pemerintah Daerah Khusus Ibu Kota Jakarta hari ini secara rasmi menandatangani Surat Pernyataan Kehendak atau Letter of Intent (LOI) bagi membentuk kerjasama antara kedua-dua bandar raya. Majlis ini berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur dengan DBKL diwakili oleh YBhg. Dato Seri TPr (Dr) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, manakala Jakarta diwakili oleh Bapak Pramono Anung, Gabenor Jakarta.

Dalam ucapan alu-aluan, Datuk Bandar Kuala Lumpur menzahirkan rasa gembira dengan termeterainya kerjasama rasmi pertama antara Kuala Lumpur dan Jakarta. Beliau menegaskan bahawa LOI ini lebih daripada sekadar dokumen, tetapi merupakan satu janji untuk memperkukuh kerjasama melalui tindakan yang praktikal dan berorientasikan hasil.

Kerjasama ini meliputi lima bidang utama iaitu peningkatan perkhidmatan pengangkutan awam, pembangunan kesihatan dan kesejahteraan komuniti, sistem pencegahan dan pengurusan banjir, pengurusan sisa berkonsep sifar sisa (zero waste) serta bidang lain yang akan dipersetujui bersama.

Datuk Bandar turut berkongsi tentang inisiatif Warisan Kuala Lumpur, projek pembaharuan bandar yang memulihkan kawasan bersejarah seperti Pasar Seni, Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad menjadi hab seni, budaya dan kreativiti. Beliau juga menyatakan bahawa semua usaha ini berpandukan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 sebagai pelan hala tuju untuk membentuk sebuah bandar inklusif, inovatif, hijau dan berasaskan komuniti.

Majlis ini diadakan bersempena tiga program utama di bawah Pengerusi ASEAN 2025 Malaysia iaitu Forum Pembandaran Mampan ASEAN (ASUF), Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (AGMF) dan Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC).

Newsletters
© 2026 SDG Centre Kuala Lumpur. All rights reserved.
homemagnifiercrossarrow-up-circle