DIALOG BANDAR RAYA 2025 EDISI PARLIMEN BUKIT BINTANG DEKATKAN DBKL DENGAN WARGA KOTA

Program Dialog Bandar Raya 2025 diteruskan untuk edisi Parlimen Bukit Bintang pada pagi ini di Perpustakaan Kuala Lumpur, menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat selaras dengan matlamat bandar sejahtera dan milik semua.

Majlis telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Ismadi bin Sakirin, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL. . Turut hadir ialah YB Fong Kui Lun, Ahli Parlimen Bukit Bintang, pengurusan tertinggi dan pegawai-pegawai kanan DBKL bagi mendengar secara langsung pandangan dan isu yang dibangkitkan oleh warga kota.

Dalam ucapannya, Encik Ismadi menekankan bahawa program dialog ini menjadi platform penting untuk merapatkan hubungan DBKL dengan warga kota, sekaligus membolehkan rakyat menyuarakan aduan, pandangan dan cadangan secara terbuka bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan perbandaran. Beliau turut menekankan bahawa usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya rendah karbon memerlukan kerjasama semua pihak agar pembangunan dapat dicapai secara mampan dan inklusif.

Antara pengisian menarik termasuk Pameran Program Perdana DBKL, Pameran Inisiatif LA21 (Clean & Green), Pameran Kuala Lumpur Sifar Sisa serta Kaunter Adu@KL yang membolehkan warga kota mengemukakan isu secara terus kepada DBKL.

Program ini turut mengetengahkan usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya rendah karbon dan mampan menjelang 2050 melalui Pelan Hala Tuju Kuala Lumpur Ke Arah Sifar Sisa 2040 dengan sasaran pengurangan 60 peratus sisa ke tapak pelupusan menjelang 2040.

Terima kasih warga kota atas penglibatan aktif anda dalam menjayakan sesi dialog ini. Komitmen bersama ini akan terus memacu Kuala Lumpur ke arah sebuah bandar raya yang inklusif, hijau dan berdaya huni untuk semua.

Nantikan Program Dialog Bandar Raya seterusnya di Parlimen Lembah Pantai pada 12 Julai 2025 bertempat di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya. Jumpa anda di sana.

Newsletters
© 2025 SDG Centre Kuala Lumpur. All rights reserved.
homemagnifiercrossarrow-up-circle