DBKL TAJA 756 PENJAJA DI BAWAH SKIM KESELAMATAN SOSIAL PEKERJAAN SENDIRI (SKSPS)

YB Dr Zaliha binti Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan YB Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia pada hari ini telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Tajaan Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) serta Pertukaran Surat Niat Kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bertempat di Pasar dan Pusat Penjaja Jalan Wirawati, Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Seramai 756 penjaja dan 434 suri rumah B40 menerima tajaan perlindungan keselamatan sosial di mana DBKL telah menaja 10% nilai caruman kepada penjaja di bawah SKSPS Pelan 2, bernilai RM 23.30 dan baki selebihnya bernilai RM 209.50 dibiayai oleh pihak kerajaan manakala bagi suri rumah B40 ianya ditaja oleh pihak JWP di bawah SKSSR.

Kesemua penjaja yang terpilih merupakan penjaja yang terlibat dengan program Lestari Niaga yang dianggar seramai 2,095 orang dan daripada jumlah tersebut pihak DBKL telah memilih 756 penjaja yang menepati kriteria yang ditetapkan iaitu penjaja yang mempunyai lesen aktif, tiada tunggakan sewa dan tunggakan kompaun DBKL serta tiada perlindungan aktif PERKESO.

Program Lestari niaga merupakan projek naik taraf fasiliti penjaja yang melibatkan premis milik DBKL dan gerai-gerai statik (gerai tepi jalan) di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah YBhg. Dato' Sri Khairul Dzaimee Bin Daud, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, YBhg. Dato' Indera Noridah Binti Abdul Rahim, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, YBhg. Dato' Sri Subahan Bin Kamal, Pengerusi Lembaga PERKESO, YBhg. Dato' Sri Dr. Mohammed Azman Bin Dato' Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO dan YBhg. Datuk Seri PMgr Sr Hj Kamarulzaman bin Mat Salleh, Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Newsletters
© 2024 SDG Centre Kuala Lumpur. All rights reserved.
homemagnifiercrossarrow-up-circle