Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Integriti, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah mengadakan Seminar Anti Rasuah Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang pada 29 Mei 2024 (Rabu) bertempat di Dewan Mestika, Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB). Sebelas agensi penguatkuasaan undang-undang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah hadir ke seminar tersebut. Seminar ini telah disempurnakan oleh YBhg Datuk Mohamad Fauzi Bin Husin, Pengarah SPRM Kuala Lumpur. Turut hadir adalah Tuan Haji Mohamad bin Hamim, Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL, Encik Kamarulzaman bin Ahmad, Pengarah Jabatan Integriti dan Encik Khairul Azmir bin Ahmad, Pengetua Institut Latihan DBKL.
Seminar ini telah membariskan 3 orang pembentang iaitu dari SPRM KPKPj Mohamad Tarmize bin Abdul Manaf, Pengarah Bahagian, Pemantauan dan Penyelarasan, SPRM, dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd Shafie Hidayatullah Al-Azhari dan perkongsian pengalaman dari tirai besi.
Fokus utama seminar ini adalah untuk menanam serta memupuk nilai integriti, membenci rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa di kalangan pegawai dan anggota penguatkuasa di dalam bidang penguatkuasaan bagi mempraktiskan budaya kerja yang positif dan berintegriti selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
Seminar yang julung kali diadakan ini adalah manifestasi kepada kerjasama strategik antara kedua-kedua agensi DBKL dan SPRM di dalam mewujudkan organisasi sifar terhadap rasuah.